Orang kata, kehidupan ini umpama kanvas. Asalnya warna putih, lalu kitalah yang mencorakkan kanvas itu. Ada orang, mencorakkan kanvas itu dengan warna hitam. Ada orang, mencorakkan kanvas itu dengan warna cerah. Ada orang, membiarkan sahaja kanvas itu tanpa warna. Neutral sahaja dan simple.
Aku pula mencorakkan ia dengan warna - warni. Penuh keceriaan dan terlihat cantik dari kejauhan. Namun tanpa disangka sekelip mata sahaja kanvas milikku dirampas orang lalu mereka yang mengambil alih mencorakkan kanvas itu sesuka hatinya. Setelah puas mencorakkan kanvas penuh kebencian, mereka memulangkan kepadaku kanvas yang telah lusuh. Aku mengambilnya kembali kerana ia masih milikku dan berusaha untuk memulihkan kanvas yang telah koyak. Saat aku memulihkan kanvas itu, hinaan dan cercaan diterima olehku kerana aku tidak lagi menjadi seperti yang dulu. Orang kata aku sudah berubah dan sudah lain tak macam dulu. Persoalannya dulu itu bukanlah aku. Itu adalah corak yang telah dilukis oleh orang yang merampas kanvasku tanpa kebenaranku. Akhirnya akulah yang dipersalahkan atas segalanya, dihina dan dibenci kerana tidak lagi menjadi seperti orang yang mereka harapkan. Tapi, bagaimana mungkin aku ingin menjadi seperti yang orang harapkan. Sedangkan aku mempunyai hati dan perasaan. Aku juga ada pilihan di dalam hidup sendiri. Apa yang aku mahukan hanyalah, ingin menjadi diri sendiri. Tanpa dipaksa oleh orang lain untuk menjadi seperti orang yang mereka harapkan. Kesedihan ini sungguh mencengkam hati ini. Saat aku bilang aku ingin pergi meninggalkan mereka agar mereka tidak lagi membenciku dan menghinaku kerana aku berada di depan mata mereka. Mereka katakan padaku bahawa aku anak derhaka. Sedangkan mereka lupa mereka sendiri yang memaksaku membuat keputusan sebegini. Sungguh sukar hidup di dalam cengkaman mereka. Bergerak ke hadapan terjerlus ke dalam lubang yang dalam, berundur ke belakang terikat dengan jeriji - jeriji besi yang tinggi dan mengurung diri ini. Berjalan ke tepi bimbang andai ada laut yang luas menelanku dan melemaskanku. Berjalan ke tengah terasa gundah jika ada ranjau berduri yang tidak kelihatan dari pandangan. Sungguh, terasa mencengkam dada ini. Terasa terseksa jiwa ini. Ke manakan lagi harus ku harapkan pertolongan. Di manakah lagi harus ku harapkan kemerdekaan. Tiadalah kata yang mampu menjelaskan apa yang ada di jiwa. Tiadalah mimpi yang akan menjadi realiti saat kesusahan datang menghunjam. Hanyalah kepada Tuhan ku berharap dan memohon pertolongan.
Hanyalah satu hajatku ini
Iaitu memperoleh kemerdekaan
Kemerdekaan yang hakiki jiwa dan raga
Merdeka dari cengkaman manusia
Merdeka dari cengkaman makhluk Tuhan
Merdeka dari segala kepayahan yang menghalangku dari bergerak ke hadapan
Oh Allah,
Seperti mana Kau membelahkan laut saat Nabi Musa terperangkap dikejar oleh Firaun
Belahlah jalan untukku supaya dapat ku lalui dan ku rentasi
Sebagaimana yang telah terjadi kepada Nabi Musa
Selamatkanlah daku seperti Nabi Musa
Bebaskanlah daku seperti mana Engkau telah membebaskan Nabi Musa dari cengkaman Firaun
Sungguh, kepadaMu lah aku berserah diri dan memohon pertolongan
Aku hanyalah insan biasa yang lemah dan tak berdaya tidak mampu berbuat apa - apa
Melainkan dengan pertolonganMu
Bantulah daku wahai Tuhan
Merdekakanlah daku wahai Tuhan
xoxo
Lea <3




0 Comments