Dalam hidup, kadangkala kita kehilangan apa yang kita cari, kita menemui apa yang kita tak pernah jumpa. Kita merasakan kita telah mencari perkara yang benar, tapi rupanya pencarian kita itu hanyalah membawa kita ke satu destinasi yang memisahkan kita dengan pencarian itu. Lalu kita melihat dengan mata kepala sendiri apa yang kita cari itu tidak sempurna seperti apa yang dibayangkan. Dan kadangkala, yang kita tak pernah cari itu tergolek di depan mata kita. Walhal, kita tak pernah membayangkan yang ia akan datang kepada kita. Kerana kita merasakan ia sungguh jauh berada di langit malam. Sedangkan yang kita cari adalah bunga yang berguguran di taman.
Dalam hidup, kadangkala kita mengharapkan sangat seseorang itu. Kerana kita menganggap cinta kita itu suci, kita mencintai mereka seikhlas hati. Namun hakikatnya, yang diharapkan itulah selalunya yang menjauh pergi dari kita. Kerana sifat kehidupan ini selalu bertentangan dengan apa yang kita mahukan. Kita mahukan bintang yang berkerdipan, tapi yang kita dapat adalah cahaya mentari yang bersinaran. Kita mengejar tali layang-layang yang mulai berterbangan ke udara, yang kita dapat hanyalah kelelahan. Namun kita masih berpegang pada satu kepercayaan, selagi ada peluang selagi itulah ingin kita capai. Sehinggalah realiti kehidupan menghunjam kita dengan sebuah kenyataan, barulah kita tersungkur jatuh lalu terduduk di atas tanah dengan hati yang kepiluan. Saat itu kita bertanya kepada diri kita, jika ia bukan milik kita mengapa kita masih mengejarnya? Mengapa hati ini masih berdegil terus mengharapkan cinta itu walhal dari awal lagi kita sudah tahu yang ia takkan pernah jadi milik kita. Walaupun untuk seribu tahun yang akan datang. Tapi kita masih mengharapkannya. Mengapa hati ini masih berdegil berkata ya?
Adakah benang yang terlilit di hati ini menjerut setiap detik sehingga ia sering tertarik-tarik untuk pergi ke tempat yang kita cintai?
anehnya sebuah perasaan..
Ada kalanya, orang yang kita banggakan, yang kita pandang tinggi itu tidaklah sempurna seperti yang disangkakan. Saat mengetahui apa yang dibuat di belakang, kita berasa marah dan menyampah sehingga tidak berhenti menyumpah kerana tak sangka dia seperti itu orangnya. Namun, bila kita duduk dan bermuhasabah diri. Dia juga manusia biasa, tidak sempurna. Mungkin masih ada sifat yang baik di dalam dirinya, tapi tak bermakna dia tidak mempunyai sifat yang buruk. Kerana kita masih manusia biasa, ada salah dan silapnya. Saat melihat dia seperti itu, masih tidak berubah sejak dulu sehingga sekarang. Walaupun sudah tua tapi perangainya masih sama. Sungguhlah kecewa tidak terkata. Dan kita tahu penghujungnya bagaimana. Sampai bila-bila dia tetap akan jadi begitu. Kerana dia sendiri yang tidak mahu berubah. Selesa tenggelam di dalam lautan kesia-siaan. Siapalah kita untuk mengubah dia? How can I change people? Walau dihunjam dengan batu yang keras, walau dicampak ke dalam kandang harimau. Jika dia tidak mahu berubah, dia tetap tak akan berubah. Kerana tak ada sesiapa boleh mengawal hidup seseorang termasuklah kita. Hanyalah dia sahaja yang mampu mengubah dirinya. Sama ada mengubah diri untuk menjadi lebih baik. Atau hanya berpura-pura baik. Atau mungkin tak pernah berubah kerana tidak menemui sebab mengapa dia perlu berubah sedangkan dia sudah selesa di dalam keadaan begitu. Kekecewaan di hati kita tak mampu mengubah seseorang itu. Hanyalah dia sendiri yang boleh mengubah dirinya. Itu kalau dia mahu
Ada kalanya, kita mencari sesuatu yang kita inginkan, yang sebenarnya memang hak milik kita. Namun saat kita mendapatkannya, kita telah menemui perkara lain. Perkara yang sebenar di dalam hidup kita. Saat itu barulah kita tahu apa yang ada dengan kita selama ini rupanya palsu. Bila kita melepaskan segala kepalsuan ini, barulah kita mengerti akan pahitnya hakikat kehidupan ini. Saat itu, kita ingin berlari hingga ke hujung dunia. Kerana tidak dapat menerima apa yang ada sekarang & apa yang telah hilang dari genggaman. Kenapa kita ingin berlari sekuat hati sejauh yang mungkin sejauh ufuk timur dan barat? Kerana di dalam hidup ini manusia hanya memandang perkara yang sempurna. Saat kesempurnaan itu pudar dan menjadi sesuatu yang tak seperti yang diharapkan, mereka mencerca dan menghina seolah-olah mereka mulia. Kerana mata mereka hanya melihat pada satu arah sahaja. Arah yang sehala, tiada dua tiada tiga. Lalu saat orang lain mula berjalan dengan arah yang berlawanan arus, mereka menghina dan mencaci mengatakan orang itu pasti akan ke neraka. Kerana dia itu tidak seperti mereka, berada di dalam jalan yang sempurna dan segalanya hanyalah milik mereka. Sehingga mereka lupa mereka hanyalah hamba, bukan Tuhan. Yang menghukum manusia itu Tuhan, bukan makhluk. Tetapi mengapa manusia sering mengambil alih kerja Tuhan? Sedangkan syurga neraka mereka sendiri pun belum tentu, mengapa mereka sibuk menentukan syurga neraka orang lain? Bukankah mereka sepatutnya lebih memikirkan diri mereka sendiri? Bot yang mereka naiki itu mungkin sedang pecah dan dimasuki air. Tapi mengapa mereka lebih memandang orang lain yang hanya menaiki rakit yang pastinya tak akan bocor walaupun berbeza dan sederhana? Sedangkan yang paling penting adalah kita tetap sampai ke arah tujuan seperti yang direncanakan. Walaupun cara kita pergi itu berbeza. Tapi mengapa manusia sering menghina orang yang berbeza dari mereka?
Dalam hidup, tak semua berjalan seperti yang diinginkan. Kita inginkan bulan dan bintang datang di dalam hidup kita. Tapi yang hadir hanyalah sebuah kenyataan yang datang bersama angin yang bertiup kencang. Membawa khabar bahawa yang kita mahukan itu telah menjadi milik orang lain. Lalu kita bersandar sendirian di bawah pokok. Melihat bunga-bunga yang berguguran. Layu ke tanah lalu ditiup angin berterbangan tanpa hala tuju. Kita sendiri turut dihujani dengan bunga-bunga itu. Lalu menitislah air mata kita di dalam permaidani bunga. Menerima kenyataan yang kehidupan ini tidak seindah seperti yang dibayangkan
Kita harapkan bintang bersinar di dalam hidup kita, kerana hidup kita selama ini dipenuhi dengan kegelapan. Tanpa sejalur cahaya. Namun yang datang kepada kita adalah matahari. Terbit di ufuk timur lalu bersinar perlahan-lahan bersama embun yang dingin membasahi pagi. Kita harapkan salji yang keputihan datang menyelaputi kita bersama angin krismas. Namun yang datang kepada kita adalah angin. Berterbangan bersama dedaun lalu berpuput lembut pohon-pohon di sekeliling. Membuai-buai bersama bisikan yang gemersik di celah telinga. Sungguh tidak dijangka namun sederhana
Tak semua yang kita inginkan jadi kenyataan, tak semua yang kita bayangkan jadi masa depan. Kadangkala yang tak pernah kita inginkan tiba-tiba datang bergolek dari arah hadapan, yang tak pernah kita bayangkan tiba-tiba menjadi masa depan kita. Kerana kita tak pernah tahu apa yang ada di depan kita. Kerana kita masih manusia biasa. Sejujurnya masih kecewa menghadapi kehidupan tak seperti yang diharapkan. Sedihnya menerima pahitnya sebuah kenyataan. Namun dengan air mata yang bergenangan, aku masih perlu melangkah ke hadapan. Mahu atau tidak mahu, perlu juga ku teruskan langkah ke hadapan. Kerana masa tetap berjalan. Dalam kehidupan, kita perlu terus maju ke hadapan. Walaupun kaki ini longlai berjalan menuju ke depan. Masih juga perlu berjalan, kerana setiap nafas yang dihembus kita masih perlu teruskan kehidupan. Kerana inilah hidup di dunia ini, mahu atau tidak mahu kita tetap patut melangkah. Menangis sehingga air mata darah, kita tetap perlu melangkah ke hadapan dan tidak lagi berpaling ke belakang. Meninggalkan ia menjadikannya sebagai sejarah. Tak semua yang kita inginkan jadi kenyataan. Tak seperti yang dibayangkan..
Dalam keadaan yang lemah dan longlai, mata yang kabur dengan air mata yang berguguran, hati yang penuh dengan kesedihan. Aku hanya mampu melihat ke belakang. Tetapi arah kakiku berjalan sudah ke hadapan. Kerana apa yang ada dengan kita sekarang tak sama dengan apa yang ada dengan kita semalam.
Mungkin yang kita inginkan itu hanyalah sebahagian dari sejarah. Sekadar menjadi kenangan yang menemankan kita saat kesunyian. Setelah waktu itu sampai, akhirnya ia pergi bersama debunga lalang. Meninggalkan kita yang sudah kuat dan sudah mampu tersenyum manis. Kerana tak semua perkara itu kekal di dalam kehidupan. Kadangkala ia hanya menjadi sekadar peneman
Di dalam kegelapan malam ini, bersama bayu malam aku menahan kesejukan sambil berjalan di dalam tangisan. Lalu aku duduk di bawah pondok bas, bersandar lemah di kerusi sambil melihat ke langit di hadapan. Dalam beberapa saat, akhirnya fajar mulai menyinsing. Matahari mulai bersinar dengan sejalur cahaya di ufuk timur. Di waktu itu tahulah aku, bahawa semuanya telah tamat pada waktu semalam. Kerana ia takkan mampu dibawa ke hari ini. Hari ini tidak boleh menjadi hari semalam, dan hari ini tidak boleh dibawa ke hari esok. Hari ini tetap kekal menjadi hari ini. Berdiri di atas kaki sendiri.
Di dalam angan yang berpanjangan, aku memejam mataku rapat-rapat. Lalu membiarkan tidur yang panjang membawaku ke alam mimpi. Belayar di samudera meninggalkan pelabuhan semalam. Menuju ke destinasi kehidupan. Berlabuh saat tiba masanya, meninggalkan semua perkara yang tak dapat dibawa bersama di belakang
Mungkin hari ini aku tidak dapat menggenggam apa yang aku inginkan
Tapi satu masa nanti akan hadir sesuatu yang ingin berada di dalam genggamanku buat selama-lamanya
Itulah masa depan..
xoxo
Lea <3




0 Comments